Hati berdetak kencang setiap kali bertemu pandang dengan jejaka
pujaan hatinya. Safa segera menundukkan pandangannya. Bimbang akan
panahan yang bakal berlaku kepada Safa andai dia terus memandang jejaka
itu. Sungguh telah lama dipendamkan rasa hati terhadap jejaka itu namun
untuk meluahkan Safa tidak berani. Perasaan malu mencengkam dirinya.
Patutkah diluahkan?
Ahh ...malu sekali untuk mengakui rasa yang bertamu di hati.
Berkali-kali Safa nafikan, namun ia tetap menganggui Safa.
Astaghfirullah hal azim... Ya Allah, jauhkanlah gangguan perasaan ini
daripada hatiku. Nasihat ibu untuk sentiasa menjaga akhlak sebagai
muslimah sentiasa bermain di minda Safa.
Saban hari Safa meluahkan rasa hatinya kepada Allah SWT. Safa berasa
lega meluahkan segalanya kepada Si Pencipta. Satu perkara yang Safa amat
pasti. Hatinya tenang sekali setiap kali usai bersolat. Hatinya juga
berasa sangat lapang. Kadang-kala mengalir air mata Safa. Dirinya dulu
amat jauh daripada Allah. Tidak pernah sekali pun dia ingin melakukan
solat-solat tambahan seperti itu. Baginya, solat fardhu sudah mencukupi.
Safa salah ...hatinya sangat kosong dahulu namun hari ini Safa mampu
untuk mengakui hatinya sudah tidak kosong lagi. Allah raja di hatinya
yang telah memenuhi segenap ruang hatinya.
Safa tidak mahu gopoh di dalam mencari pasangan sementelah dirinya
masih lagi menuntut di tahun akhir di universiti. Safa perlu menyudahkan
pengajiannya dahulu sebelum berfikir mengenai pasangan hidup apatah
lagi perkahwinan. Safa akui, memiliki pasangan adalah fitrah semulajadi
manusia dan Safa sentiasa mendoakan semoga Allah mengurniakan seorang
suami yang mampu membimbingnya ke jalan Syurga.
Safa menyimpan rapi perasaan itu sendiri. Dia tidak pernah
mengharapkan apa-apa balasan daripada jejaka itu. Safa khuatir, andai
hatinya terlalu berharap, dia bakal kecewa suatu hari nanti. Allah
pengatur segalanya. Dia pasrahkan apa sahaja qada' dan qadar Allah
terhadapnya. Sementelah dirinya belum bersedia untuk mendirikan rumah
tangga, adalah molek sekiranya diabaikan dahulu perasaan yang sekian
lama menghuni hatinya. Pada pandangan Safa, jejaka itu sangat baik
pegangan agama dan akhlaknya.
Setelah 3 tahun bergelut sebagai seorang pelajar universiti, Safa
akhirnya berjaya bergraduasi dengan cemerlang. Ibu dan ayahnya tersenyum
bangga melihat kejayaan Safa, Itulah hadiah terbaik untuk ibu dan
ayahnya. Universiti kini ditinggalkan. Lambaian rakan-rakan semakin jauh
daripada pandangan mata. Sedang asyik Safa melambai rakan-rakannya
daripada dalam kereta, matanya tertancap kepada susuk tubuh seseorang.
Dia ...selamat tinggal insya-Allah semoga bertemu lagi, bisik Safa
perlahan. Perasaan sayu menggayuti hati. Air matanya dikesat perlahan.
Dalam diam, ibu memerhatikan perlakuan Safa. Cepat-cepat Safa
mengalihkan pandangan ke luar tingkap kereta. Malunya dia andai ibu
mengetahui hal hatinya.
Safa kini seorang wanita yang berkarier. Namun sunyi hati mendambakan
teman bernama suami. Lantas hal itu disuarakan kepada ibu dan ayahnya.
Safa redha akan pilihan ibu dan ayahnya. Pasti mereka akan mencari
seorang yang seorang yang sesuai untuk dirinya. Sesekali Safa teringat
akan jejaka itu. Safa tersenyum sendiri mengenangkan kisah lalu. Sekian
waktu telah berlalu, barangkali dia sudah bergelar seorang suami dan
bapa.
Suatu hari, ibu membawa perkhabaran bahawa mereka telah menemui
seorang calon suami untuk Safa. Alhamdulillah, Safa melafazkan syukur.
Safa sangat percaya akan pilihan kedua orang tuanya. Safa hanya
mengetahui sedikit tentang calon suaminya. Itu sudah memadai untuk Safa.
Safa segera beristikarah meminta ketetapan hati di dalam membina sebuah
rumah tangga. Semoga semuanya di dalam redha Allah SWT. Setelah
beberapa kali beristikarah, Safa menemui jawapan. Ia tidak hadir melalui
mimpi seperti mana biasa namun Safa merasai ketenangan dan kelapangan
hasil daripada istikharahnya.
Mendengarkan kata-kata Safa, ibu segera ke biliknya dan kembali dengan membawa sekeping foto. Dihulurkannya kepada Safa.
"Gambar bakal suami Safa ye ibu? Ibu simpan ajelah. Safa tahu, ibu mesti pilihkan yang paling beriman untuk Safa kan..."
"Cuba tengok dulu Safa."
Diambilnya foto di tangan ibu dengan hati yang berat. Dia belum bersedia untuk melihat wajah bakal suaminya. Baginya, paras rupa tidak penting dan dia tetap akan mengenali bakal suaminya apabila mereka telah sah menjadi pasangan suami isteri kelak.
Subhanallah, wajah yang cukup dikenali Safa. Air mata Safa mengalir deras. Lantas Safa memeluk ibu. Terharu Safa akan ketentuan takdirnya. Ibu mengusap-usap belakang Safa. Ibunya turut terharu mendengar tangis syukur Safa.
"Itulah, jual mahal. Ibu nak tunjukkan dari awal lagi tapi Safa tak nak."
"Safa tak sangka ibu. Tapi macam mana ibu? Ibu kenal dia? Tapi Safa tak pernah cerita pun..."
"Safa sayang, Zubair itu anak kenalan ibu. Setelah sekian lama ibu terputus hubungan dengan umi Zubair. Alhamdulillah, akhirnya kami bertemu semula. Banyak yang ibu bualkan dengan umi Zubair termasuklah niat ibu untuk mencari calon menantu. Umi Zubair yang cadangkan supaya menjodohkan Safa dan Zubair. Subhanallah Safa, ibu pun tak sangka itulah lelaki yang berjaya buat anak ibu menangis. Ingatkan sedih tinggalkan universiti, rupa-rupanya sedih tinggalkan Zubair ya..."
Safa termalu sendiri. Syukurnya dipanjatkan kepada Ilahi kerana menganugerahkan pertemuan yang indah ini.
"Ni ada surat dari Zubair. Umi Zubair yang sampaikan ke ibu. Dia minta ibu sampaikan ke Safa."
Bismillah hir rahmanirrahim,
Sungguh aku bersyukur dengan jalan jodoh kita. Safa, kemungkinan ketika kita berada di universiti suatu ketika dahulu, aku kurang mengetahui akan perihalmu. Namun, dalam diam aku mengagumimu, seorang yang sentiasa menjaga batas pergaulan dan auratmu. Sebenarnya, di hari graduasimu, aku sengaja hadir ke situ untuk memberikanmu sekeping warkah. Warkah untuk menyatakan isi hatiku sebenarnya namun aku terlewat tiba. Khabaran umiku akan dirimu membuatku menangis syukur. Alhamdulillah..aku bersyukur kerana Allah telah menetapkan Safa untukku, sebagai pelengkap rusuk kiriku. Izinkanku untuk membimbingmu hingga ke Jannah.
0 comments:
Post a Comment