C0untdown 2013

Thursday, 20 September 2012

Mencari Jalan Kembali

Abdullah Umar memandang jam di dinding biliknya. Ahh ...sudah jam 3.45 petang. Terkocoh-kocoh dia bangun menuju ke bilik air lalu mengambil wudhu' untuk solat Zuhur. Leka benar dia dengan permainan Counter Strike di komputer. Sudah menjadi kebiasaan Abdullah bersolat pada akhir waktu. Padanya, tiada salahnya melewatkan solat. Solatnya masih sah sementelah ia masih dalam had waktu yang dibenarkan untuk menunaikan solat. Abdullah tahu bahawa lebih afdal untuk menunaikan solat pada awal waktu namun dia kurang mengambil perhatian akan itu. Dia juga tahu bahawa solat adalah amalan manusia yang pertama akan dihisab oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak namun Abdullah tetap begitu. Dia tetap liat untuk solat. Dalam solat, kerap benar fikiran Abdullah menerawang hinggakan dia terlupa sudah berapa rakaat telah disempurnakannya. Abdullah asyik memikirkan permainan komputer yang dimainkannya sebentar tadi. Solatnya tidak khusyuk. Kerap kali begitu. Sukarnya untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat! Ahh ...solat atau tidak sama sahaja. Tiada kesan pada Abdullah. Abdullah berdoa ringkas. Doa dipanjatkan untuk ibu bapa dan dirinya. Tidak pula dia mendoakan saudara seIslam yang lain. Abdullah sangat mengetahui akan penderitaan dan penindasan yang berlaku kepada umat Islam di Syria, Palestin dan Myanmar serta umat Islam yang lain namun Abdullah tidak mendoakan keselamatan dan keamanan untuk mereka. Sebaliknya, Abdullah berasa beruntung sendiri kerana berada di negara yang aman. Sekiranya Abdullah berada di tempat mereka, pastilah Abdullah mendambakan doa-doa daripada saudara seagama yang prihatin. Paling tidak, Allah mendengar doa dan insya-Allah, Allah akan makbulkan doanya. Maka, berkuranganlah perit derita yang mereka lalui. Umat Islam diibaratkan sebagai satu anggota badan. Apabila peha kanan dicubit, peha kiri turut terasa. Derita mereka sepatutnya menjadi derita Abdullah juga. Abdullah juga seperti remaja lain yang mempunyai rasa ingin dicintai wanita. Sudah lama Abdullah berpasangan dengan Zila. Perkenalan yang membahagiakan itu terjadi ketika Abdullah dan Zila berada dalam semester dua peringkat pengajian diploma. Setiap hari mereka menghabiskan masa berjam lamanya untuk berbual sama ada melalui pesanan ringkas ataupun panggilan telefon. Walaupun mereka sering bertemu, rindu antara mereka tidak pernah surut. Kerap kali mereka keluar berdua untuk makan bersama, menonton wayang dan membeli-belah. Dalam pelajaran pula, mereka berdua merupakan pelajar cemerlang di kolej mereka. Kebiasaannya pada setiap semester, CGPA mereka pasti di atas 3.50. Ramai rakan-rakan yang mencemburui kepintaran mereka, namun itulah rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka. Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah SWT yang sentiasa memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya yang gigih berusaha tanpa mengira tahap keimanan seseorang itu kepadaNya. Walaupun begitu, jauh di sudut hati Abdullah ada terselit satu perasaan tidak tenteram. Solat dan Al-Quran tidak berjaya menegahnya daripada melakukan maksiat. Kadang-kala Abdullah mempersoalkan, jika solat menegah manusia daripada melakukan kemungkaran namun mengapa dia masih melakukan dosa dan maksiat. Di mana silapnya? Abdullah juga sering berzikir dan beristighfar namun Abdullah tidak menemui ketenangan daripadanya. Abdullah cuba mencari makna di sebalik firman Allah SWT iaitu dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang namun mengapa Abdullah masih jauh daripada ketenangan? Dek kerana mencari ketenangan, Abdullah mengunjungi pusat karaoke, pusat snuker dan pernah sekali Abdullah ke kelab malam. Kunjungan Abdullah ke sana menimbulkan amarah bapanya. Bukan sahaja gagal menemui ketenangan yang dicari malah dirotan pula. Bapanya tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak sulungnya itu yang sepatutnya menjadi contoh dan pelindung kepada adik-adiknya mengunjungi kelab malam! Satu hari ketika Abdullah di kedai buku, Abdullah terdengar sebuah lagu merdu yang didendangkan di radio. Abdullah segera mendekati corong suara untuk mendengar dengan lebih jelas lagi. "Jalan pulang bukannya mudah, Musuh nafsu ajak menyerah, Mohon taufik mohon hidayah, Agar selamat dari fitnah" Bait-bait lagu tersebut menyentuh hati Abdullah. Rasa sayu menggayut hati. Entah apa istimewanya lagu itu namun ia hampir-hampir mengalirkan air mata Abdullah. Pulang ke rumah, Abdullah bermuhasabah diri. Dia merasakan hidupnya selama ini banyak diluangkan untuk perkara sia-sia. Dia sepatutnya menjadi khalifah Allah yang meneruskan perjuangan Rasulullah SAW namun banyak hal berkaitan Islam yang Abdullah abaikan. Jauh benar beza dirinya dengan pemuda pada zaman Rasulullah SAW. Pemuda seperti Saidina Ali RA sanggup menawarkan nyawa sebagai galang ganti kepada nyawa Rasulullah SAW yang ingin dibunuh oleh Musyrikin Mekah. Betapa teguhnya iman Saidina Ali RA! Mengenangkan betapa lemahnya iman, air mata Abdullah mengalir tanpa tertahan lagi. Segera, sejadah dicapai dan solat sunat taubat dilakukan. Lama Abdullah bersujud sambil diiringi air mata yang deras mengalir. Pada Allah ampunan diharapkan. Dalam doanya, "Saksikanlah Ya Allah, hari ini Abdullah Umar datang menyerah diri dan mengakui segala dosa. Ya Allah, ampunkan aku. Sungguh, aku sangat menzalimi diriku sendiri." Abdullah memutuskan untuk bertemu Ustaz Hanafi, guru agama di sekolahnya dulu. Abdullah tahu, Ustaz Hanafi pasti bersedia membantunya. Apabila disoal tentang hidayah yang datang melalui lagu, kata Ustaz Hanafi, "Jika lagu tersebut mengajak kepada keesaan Allah dan mendatangkan keinsafan kepada kita, maka itulah hidayah daripada Allah. Abdullah, bersyukurlah Allah mengurniakanmu hidayah. Hargailah ...takut-takut ini hidayah yang terakhir." Abdullah pulang dengan hati penuh penyesalan. Abdullah bertekad untuk memelihara hidayah yang diperolehinya. Ibu dan bapa Abdullah sangat menyenangi perubahan Abdullah. Dinamakan Abdullah Umar sempena Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang soleh. Sudah tentu ibu bapanya mendambakan zuriat mereka itu juga soleh. Kini Abdullah fahami, kebaikan dan dosa tidak boleh dicampurkan. Berpasangan dan melakukan perkara yang sia-sia yang lain menambahkan lalai di hati Abdullah. Ia membuatkan Abdullah semakin jauh daripada cinta Allah. Abdullah juga tidak merasakan kemanisan beribadah kepada Allah. Dia belajar untuk bersyukur dan menghayati setiap bait zikir yang dilafazkannya. Abdullah berazam untuk meninggalkan jalan-jalan maksiat. Hubungannya dengan Zila banyak menambahkan saham dosa Abdullah. Mengingati, merindui dan memandang Zila sering membawa kepada zina fikiran dan hati. Abdullah khuatir hatinya bertambah gelap dengan dosa. Oleh itu, Abdullah terpaksa bertegas dengan kemahuan nafsunya. Cukup sukar untuk Abdullah melakukannya namun Abdullah ikhlaskan hati. Semuanya demi mengejar cinta yang agung. Matlamat Abdullah semakin jelas kini. Hanya redha Allah yang akan dicari. Abdullah mengharapkan penghijrahan kali ini hingga ke hujung nyawa. Semoga Allah SWT meredhai usaha Abdullah dalam mencari jalan kembali.

0 comments:

Post a Comment


Powered by Blogger.

Pages - Menu

Template by:

Free Blog Templates